Berbekam dapat sembuhkan 72 jenis penyakit


TRADISIONAL: Berbekam boleh membantu membersihkan darah yang mengalir dalam tubuh.

SIBU: Masyarakat kini tidak terlepas daripada ancaman penyakit yang berpunca daripada amalan pemakanan dan cara hidup seharian.

Sudah tiba masanya untuk merawat diri dengan cara perubatan yang diamalkan Nabi Muhammad SAW bagi merawat penyakit fizikal, minda, emosi, spiritual dan lain-lain hanya dengan kaedah alhijamah atau berbekam, kata seorang pengamal perubatan Islam, Mualij Bojeng Yunus.

Beliau berkata, teknik pengubatan bekam adalah suatu proses membuang darah kotor (toksik/racun) yang berbahaya dalam tubuh melalui permukaan kulit dan toksin itu berada dalam tubuh hampir setiap orang.

“Toksin berasal daripada pencemaran udara mahupun makanan yang banyak mengandungi zat pewarna, pengembang, penyedap rasa, pemanis dan racun sayuran,” katanya ketika ditemui di Pusat Terapi Nur Hikmah Ilahi di sini kelmarin.

Menurutnya, berbekam dapat membersihkan darah yang mengalir dalam tubuh manusia dan inilah salah satu detoksifikasi (proses pengeluaran toksik/racun) yang sangat berkesan serta tiada kesan sampingan.

“Berbekam sangat berkesan untuk melegakan atau menghapuskan kesakitan, memulihkan fungsi tubuh serta memberi seribu harapan kepada penderita untuk terus berikhtiar mendapat kesembuhan,” jelasnya.

Rawatan berbekam merupakan salah satu rawatan yang menjadi amalan Rasulullah SAW yang terbukti berkesan merawat dan mencegah pelbagai penyakit kronik sama ada zahir atau batin.

“Jenis bekam kering atau bekam angin adalah menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik.

“Biasanya orang tidak tahan suntikan jarum atau takut melihat darah.

“Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas tiga hari,” tambahnya.

Manakala bekam basah dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam.

“Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik adalah antara tiga hingga lima minit.

“Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. “Mereka yang berbekam dinasihati agar tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam,” katanya.

Menurut Bojeng, tidak semua orang boleh berbekam kerana dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan.

“Mereka termasuk yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, wanita mengandung dan ketika haid, masalah kulit serius atau dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang,” katanya.

Kebaikan berbekam boleh membantu menghilangkan pening dan migrain, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan, membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam, membantu memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.

Selain itu, berbekam juga boleh membantu mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar, mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat, membantu meringankan tubuh dan membantu menajamkan minda.

Dianggarkan sebanyak 72 jenis penyakit dapat disembuhkan antara ketegangan urat, darah tinggi, jantung, kolesterol, masuk angin, migrain, sakit mata, angin ahmar, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang melalui kaedah berbekam.

Kepada sesiapa yang mempunyai masalah penyakit dan ingin mencuba kaedah rawatan bekam boleh menghubungi Mualij Bojeng Yunus di talian 010-9800453/016-8745875, Facebook TERAPI NUR HIKMAH ILAHI whatsApp/wechat: 016-8745875

Manakala untuk pesakit wanita ada perawat khusus bagi wanita turut disediakan untuk menangani masalah kesihatan yang mereka hadapi. -UtusanBorneo